Siasatan salah guna kuasa pegawai Mara hampir lengkap

A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa telah 99 peratus selesai.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan memberi tumpuan kepada dua isu berhubung salah guna kuasa dalam pengurusan sebuah anak syarikat agensi tersebut iaitu Mara Corporation (Mara Corp).

"Kertas siasatan pertama berkaitan lima pegawai Mara yang mana 99 peratus kita sudah siapkan dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk beliau membuat kajian.

"Yang kedua pula adalah berhubung dengan perbelanjaan kad kredit yang mana ia masih dalam proses siasatan.

"Saya tak boleh mengulas lebih lanjut kerana siasatan sedang dijalankan," katanya ketika sidang media majlis pelancaran Program Excel: Liabiliti Korporat dan Pelan Anti Rasuah Organisasi di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Program yang akan dijalankan suruhanjaya berkenaan dengan kerjasama beberapa syarikat swasta itu dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Mengulas lanjut Ahmad Khusairi berkata, SPRM akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat untuk tujuan peribadi.

"Kalau ada klausa yang mengatakan bahawa penggunaan tersebut melibatkan hal peribadi, maka mereka harus buat bayaran balik.

Artikel Berkaitan:

"Namun, banyak sudut juga kita nak kena tengok dari sudut pentadbiran dan juga jenayah kena tengok. Itu pun tak lama lagi kita akan selesaikan," katanya.

Sinar Harian pada 11 Februari melaporkan lima pegawai kanan Mara hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan tersebut.

SPRM memulakan siasatan terhadap Mara dengan melakukan serbuan di tiga lokasi berasingan di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang.

Ia selepas sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter pada Jumaat minggu lalu.