Ibadah umrah dibenar semula mulai 8 Februari: Nancy

Gambar kecil: Nancy Shukri
Gambar kecil: Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kabinet pada Rabu memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Januari lalu susulan penularan jangkitan varian Omicron Covid-19.

"Baru tadi kami (Kabinet) sudah membuat keputusan...kita tidak mahu memanjangkannya lagi (tempoh penggantungan) jadi apabila 8 Februari ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas perkembangan perjalanan umrah selepas Majlis Pelancaran Video Kempen Dream Malaysia di sini, hari ini.

Nancy berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak.

"SOP dari dulu sama. Tinggal (cuma) hanya ada beberapa SOP baharu untuk mereka (jemaah) dan itu akan dibincang bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan susulan peningkatan varian Omicron Covid-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata penilaian risiko situasi Covid-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah. - Bernama

Artikel Berkaitan: