SRAM bincang isu pembiayaan atlet digugurkan MSN

Gerard Monteiro
Gerard Monteiro
A
A
A

PERSATUAN Skuasy Malaysia (SRAM) akan mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan negeri pada Khamis ini bagi mencari penyelesaian isu pembiayaan pemain yang digugurkan daripada program latihan Majlis Sukan Negara (MSN).

Presidennya, Gerard Monteiro berkata, mereka akan membincangkan isu mengenai kekurangan dana bagi membiayai pemain, serta rancangan untuk mengumpul dana berkenaan, bagi membantu atlet persatuan bertanding dalam mana-mana kejohanan, termasuk Sukan SEA di Vietnam, Mei ini, dan Sukan Komanwel di United Kingdom pada Julai.

"Awal bulan ini kami menghabiskan masa seminggu bersama MSN bagi merancang kejohanan yang akan diikuti pemain, dan berapa banyak bajet diperuntukkan MSN untuk kami. Jadi, sekarang kami sudah tahu berapa jumlah dana yang kurang.

"Saya akan bincangkan perkara ini dengan persatuan-persatuan negeri pada Khamis, saya akan bawa isu mengenai kekurangan itu dan beritahu semua bagaimana saya akan mengumpul duit dari sektor swasta, dan membantu memastikan pemain mendapat sokongan,” katanya selepas merasmikan Program Pembangunan Junior CIMB dan laman sesawang baharu persatuan itu.

MSN baru-baru ini telah menggugurkan 144 atlet kebangsaan dan hanya mengekalkan 293 atlet (248 atlet biasa dan 45 atlet para) untuk program latihan sepenuh masa tahun ini, berbanding lebih 400 atlet biasa dan 114 atlet para sebelum ini.

Pemain skuasy handalan negara Low Wee Wern adalah antara 10 pemain yang digugurkan dari SRAM susulan keputusan MSN itu.

Sementara itu, Gerard menjelaskan bahawa keputusan untuk mengeluarkan pemain dibuat secara bersama oleh MSN dan SRAM selepas meneliti senarai pemain, bagi memberi peluang kepada pemain muda.

Beliau berkata pihaknya akan mencuba yang terbaik bagi membantu Wee Wern kembali beraksi. Pemain kelahiran Pulau Pinang itu kini dalam proses rehabilitasi susulan pembedahan lutut tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak akan lupa mereka yang akan kembali dan kami masih menyokong mereka. Sebagai contoh, Wee Wern, walaupun dia cedera dan MSN tidak membiayainya untuk kejohanan, kami akan mengumpul duit bagi memastikan dia pulih sepenuhnya dan bermain skuasy semula,” katanya. - Bernama