Lelaki ditemui mati dengan dua kesan tikaman

Lokasi kejadian mangsa ditemui maut dengan kesan tikaman di dada di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, Sandakan.
Lokasi kejadian mangsa ditemui maut dengan kesan tikaman di dada di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dalam kejadian di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, di sini, awal pagi Isnin.

Mangsa warga Filipina berusia 69 tahun itu ditemui dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah oleh anaknya pada jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 pagi dan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, terdapat mayat seorang lelaki terlantar dengan kesan tikaman di bahagian dada.

"Kejadian disedari oleh anak lelakinya yang pergi ke pondok itu untuk berniaga dan sebaik tiba didapati mangsa telah mati dengan kesan darah di dada mangsa," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Katanya, mangsa merupakan seorang peniaga sayur-sayuran dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.

"Mangsa kali terakhir ditemui masih hidup kira-kira jam 5.30 petang Ahad, di mana anak mangsa ada berjumpa serta berbual dengannya di hadapan gerai mereka.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil memberikan maklumat.