Hup Wei berhasrat tubuh akademi lompat tinggi

Hup Wei berhasrat mahu menubuhkan akademi lompat tinggi selepas menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia olahraga, tahun depan.
Hup Wei berhasrat mahu menubuhkan akademi lompat tinggi selepas menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia olahraga, tahun depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan akademi lompat tinggi adalah antara matlamat atlet negara, Lee Hup Wei selepas menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia olahraga, tahun depan.

Jaguh lompat tinggi kebangsaan berusia 34 tahun dari Kajang itu, yang memaklumkan untuk menceburi bidang kejurulatihan selepas bersara, juga telah selesai menjalani kursus kejurulatihan tahap pertama dalam persediaan menghadapi persaraan.

“Belum tahu lagi (berkhidmat di mana), mungkin akan mulakan akademi sendiri,” katanya yang pernah beraksi pada temasya Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020 kepada Bernama.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA (2007, 2009, 2011, 2019) itu, sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara daripada sukan berkenaan berikutan faktor usia.

Sementara itu, Hup Wei berharap lebih banyak kejohanan disediakan supaya beliau berada pada prestasi terbaik menjelang tiga temasya penting pada tahun depan – Sukan SEA Hanoi bermula 12-23 Mei, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou, China (10-25 September).

Beliau berkata, buat masa ini, kejohanan persediaan itu penting dalam persiapan ke Sukan Asia yang mana tahapnya lebih tinggi dengan pemenang pingat emas Olimpik Mutaz Essa Barshim dari Qatar (dengan lompatan 2.37 meter) antara yang dijangka memberi saingan.

“Sepatutnya sekarang dah mula persiapan. Tetapi saya harap ada sekurang-kurangnya 10 kejohanan menjelang Sukan Asia nanti, bukannya satu atau dua kejohanan sahaja dan terus ke Sukan Asia. Buat masa ini tidak ada kejohanan yang disahkan.

“Kami mahu menyertai kejohanan dalam dewan (di luar negara), tetapi kerana banyak pemotongan bajet, jadi kami tidak tahu rancangan untuk tahun depan. Saya harap kita akan ada banyak kejohanan, malah di dalam negara, saya harap mereka (Persekutuan Olahraga Malaysia) dapat berbuat sesuatu sebelum Sukan SEA,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021, Ahad lepas, Hup Wei yang berhati-hati dengan permukaan licin, sekadar melakukan catatan 2.10 meter (m) untuk meraih gangsa, manakala dua atlet Sabah - Mohamad Eizlan Dahalan dan Farell Glenn Felix Jurus - melakukan lompatan 2.14 m, untuk masing-masing membawa pulang emas dan perak.

Di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Hup Wei menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan lompatan 2.20 m, di belakang rakan sepasukannya Nauraj Singh Randhawa yang menduduki tempat ketujuh (2.24 m), manakala pingat emas menjadi milik Wang Yu dari China dengan lompatan 2.30 m.

Namun, penampilan paling mengecewakan sudah tentu pada aksi terakhirnya di Olimpik Tokyo, Julai lepas, apabila beliau yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29 m, gagal melepasi ketinggian 2.17 m pada pusingan kelayakan. - Bernama