PKR tidak tergugat kemunculan Parti Bangsa Malaysia

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA MUDA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mereka tidak tergugat dengan kemunculan sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Parti Bangsa Malaysia.

Katanya, kesemua ahli parti baharu itu sebelum ini telah mengkhianati PKR dan perjuangan mereka hanya berpaksikan kedudukan serta wang ringgit.

Anwar juga berpendapat parti yang didalangi oleh pengkhianat tidak pernah menggugat kedudukan PKR.

"Mereka sudah lama keluar dari Keadilan. Khianat itu sudah lama berlaku, sejak bila kita kata orang khianat akan menjejaskan Keadilan?

"Sepatutnya tanya dia lompat sebab apa? (Pasti) sebab wang, sebab kedudukan, semua orang tahu itu, terhakis daya tahannya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemantapan Pilihanraya PKR Kedah di Pantai Merdeka di sini pada Khamis.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan untuk Pakatan Harapan (PH) menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar yang juga Pengerusi PH menegaskan, perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat dalaman gabungan berkenaan.

"Saya kata perkara ini tidak pernah disampaikan dan tidak dibincang (dalam mana-mana mesyuarat), dari segi parti, kita akan terus bersama PH (dalam hadapi PRU15)," katanya.

Pada Selasa, seramai 53,109 orang daripada sayap Penggerak Komuniti Negara (PKN) di seluruh negara akan menyertai parti politik baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Artikel Berkaitan:

Presiden PKN, Nor Hizwan Ahmad berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersetuju menyertai PBM dengan agenda 'The Great Reset 2030' yang menumpukan pada enam tunjang utama.