Bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir disambung secepat mungkin

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu memberi jaminan bekalan elektrik di kawasan yang terlibat banjir akan disambung secepat mungkin apabila keadaan air mulai surut.

Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya, Ismail Sabri berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa memutuskan bekalan buat sementara waktu di lebih 350 kawasan di Lembah Klang disebabkan banjir.

"Atas faktor keselamatan awam, TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih bahaya, litar pintas boleh berlaku dan boleh menyebabkan kebakaran," katanya.

Selain itu, beliau berkata, disebabkan masih ada kawasan yang ditenggelami banjir, TNB terpaksa menangguhkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Perdana Menteri juga telah mengarahkan semua agensi terlibat dalam bencana banjir supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu, Ismail Sabri menasihati penduduk di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak supaya mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga berikutan amaran ribut petir dan hujan lebat.

Jabatan Meteologi Malaysia (MetMalaysia) pada 3.20 petang ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Kuantan, Pahang; Selangor (Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Langat); Jelebu, Negeri Sembilan dan Johor (Tangkak, Muar, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi).

Amaran sama juga dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman, Betong, Pakan, Julau, Meradong, Sibu, Song, Kapit, Belaga, Tatau, Sebauh dan Marudi, manakala di Sabah melibatkan Lahad Datu dan Kinabatangan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih bahaya, litar pintas boleh berlaku dan boleh menyebabkan kebakaran.
TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih bahaya, litar pintas boleh berlaku dan boleh menyebabkan kebakaran.