Agihan kerusi BN: Perlukan persetujuan, persefahaman

Laporan Sinar Harian pada 18 Disember 2021.
Laporan Sinar Harian pada 18 Disember 2021.
A
A
A

ALOR SETAR - Persefahaman baharu dan persetujuan semula dalam menentukan pembahagian kerusi Parlimen antara parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan selepas parti tersebut kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, pihaknya menghormati kesetiaan rakan komponen dalam BN apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan mengekalkan kerusi ditandingi MCA walaupun kerusi tersebut sudah beberapa kali kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lepas.

"Namun, Presiden UMNO perlu lebih tegas dan berfikiran strategik dalam menentukan calon yang betul-betul boleh memenangkan BN walaupun terpaksa mengorbankan kerusi tradisi parti komponen.

"Kemenangan dalam PRU perlu mengikut jumlah undi iaitu angka bukannya mengikut tradisi calon parti tertentu di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Mohd Yusof berkata sedemikian sebagai mengulas janji Ahmad Zahidi yang juga Pengerusi BN Pusat ketika berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di Dewan San Choon, Wisma MCA pada Ahad.

Menurutnya, beliau juga meminta suara akar umbi di bawah didengari kerana merekalah yang akan menjadi jentera kelak semasa PRU15 untuk bekerja bagi memenangkan calon tersebut.

Mengikut rekod, MCA hanya memenangi 15 kerusi daripada 40 kerusi ditandingi pada PRU12 berbanding menang 31 kerusi daripada 40 kerusi ditandingi semasa PRU11.

"Pengurangan kerusi MCA yang menang semakin ketara dalam PRU13 apabila hanya tujuh kerusi dimenangi daripada 37 kerusi yang ditandingi.

Artikel Berkaitan:

"Paling teruk, MCA bertanding jumlah kerusi yang sama pada PRU14, namun hanya menang satu kerusi sahaja sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Piai yang menyaksikan MCA menang lagi satu kerusi di sana," katanya.

Menurut beliau, antara punca pengurangan majoriti BN dan kekalahan PRU14 selain tsunami politik, ia juga disebabkan parti komponen yang tidak dapat menawan pengaruh pengundi mereka.

"Terbaharu, PRN Melaka, walaupun MCA berjaya mendapat kemenangan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun calon MCA bukan hanya kalah, malah wang deposit juga lesap di dua DUN yang majoriti pengundi Cina,"katanya.

Sehubungan itu, katanya, BN perlu membuat penstrukturan semula daripada data-data ini bagi membentuk persefahaman baru untuk menentukan calon yang sesuai bagi beberapa kerusi Parlimen terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu yang melebihi 60 peratus.

Tambah beliau, selain Alor Setar, calon MCA juga telah kalah sebanyak dua kali dalam PRU13 dan PRU14, Parlimen seperti Tanjong Malim dan beberapa Parlimen lain yang majoriti pengundi Melayu juga perlu diambil perhatian dalam penstrukturan semula calon-calon.

Kekalahan calon BN daripada MCA, kata beliau akan menjejaskan misi BN untuk menguasai semula tampuk pemerintahan negara bagi membawa kestabilan politik yang akan memberi kemakmuran kepada rakyat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan semua peringkat kepimpinan akar umbi UMNO Alor Setar menandatangani memorandum menggesa BN meletakkan calon daripada UMNO untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU15.

ARTIKEL BERKAITAN:Memorandum desak kerusi Parlimen Alor Setar diserahkan kepada UMNO