Harga sayur, baja dan racun pertanian dibangkitkan ahli Parlimen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran, baja serta racun pertanian dibangkitkan beberapa ahli Parlimen yang ingin tahu langkah kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berkata, beliau menerima rungutan daripada rakyat mengenai kenaikan mendadak harga sayur seperti kubis bunga daripada RM7 kepada RM16 sekilogram dan sawi pendek kepada RM9 berbanding RM3 sekilogram sebelum ini.

"Bukan sahaja harga sayur naik 200 peratus, harga ayam juga naik... sebelum ini RM8 sekilogram (harga ayam) tetapi sekarang ada yang lebih RM10 sekilogram.

“Harga telur gred A juga naik daripada RM10 kepada RM12 sepapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sabri Azit (PAS-Jerai) pula meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi kenaikan harga import racun dan baja pertanian bagi mengurangkan beban petani dan pesawah.

“Kenaikan harga racun dan baja sangat keterlaluan dan kita minta kerajaan membantu golongan pesawah dengan memantau harga pasaran racun,” katanya.

Seramai 12 ahli Parlimen turut serta pada sesi perbahasan itu dan dijangka 16 lagi akan menyambung perbahasan mereka esok, selain penggulungan daripada MAFI.

Bajet 2022 memperuntukkan sejumlah RM3.28 bilion anggaran perbelanjaan mengurus kepada kementerian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain MAFI, sesi perbahasan dan penggulungan peringkat Jawatankuasa esok dijadual melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Khamis. - Bernama