'Jangan ganggu harimau dahan jika terserempak'

Tular gambar seekor harimau dahan dipercayai berada di jalan raya di Jalan Keningau-Kimanis.
Tular gambar seekor harimau dahan dipercayai berada di jalan raya di Jalan Keningau-Kimanis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Orang ramai yang terserempak dengan harimau dahan di jalan raya diminta supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan kesahihan haiwan itu berkeliaran di jalan raya.

"Kami belum dapat sahkan (gambar harimau dahan tular) kecuali orang yang mengambil gambar itu membuat laporan rasmi kepada kami.

"Bagaimanapun, boleh jadi betul kerana kawasan itu berhampiran dengan Taman Banjaran Crocker (Keningau) dan tidak mustahil ada harimau dahan yang keluar ke jalan raya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan kelibatnya sempat dirakam dan dimuat naik di media sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, tular satu gambar yang memaparkan seekor harimau dahan berada di tepi jalan dan dipercayai berada di Jalan Keningau-Kimanis di media sosial.

Dalam pada itu, Augustine menasihatkan orang ramai supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah.

"Jangan apa-apakan atau diganggu haiwan itu. Kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah kerana haiwan itu berada berhampiran dengan Taman Banjaran Crocker," jelasnya.

Beliau berkata, haiwan itu kebiasaannya tidak berbahaya jika tidak diganggu atau diprovokasi.

Artikel Berkaitan: