Dr Mahathir bidas tindakan beri hadiah kepada individu terlibat rasuah

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan memberikan 'hadiah' kepada individu yang didapati bersalah dalam kes rasuah.

Jelas beliau, tindakan tersebut disifatkan sebagai 'pilih kasih' untuk golongan tertentu sahaja yang kononnya berjasa kepada negara.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu berbeza dengan penjawat awam yang didapati bersalah apabila mereka tidak akan mendapat sebarang pencen atau sagu hati.

“Di negara kita, pilih kasih ini bukan dilakukan secara tersembunyi, bahkan mereka yang telah didapati bersalah hendak diberikan hadiah oleh kerajaan kerana kononnya jasa kepada negara. Bila ditanya apa jasanya, mereka tidak dapat jawab.

“Perbuatan ini memburukkan keadaan dan menyalahi undang-undang. Orang ini sudah didapati bersalah, sedangkan pegawai kerajaan yang membuat sesuatu kesalahan setelah didapati bersalah, dia tidak akan dibayar pencen jauh sekali sagu hati.

“Ini berlaku depan kita, semua orang tahu. Walaupun saya tidak sebut nama, semua orang tahu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Dialog Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia bertempat di Putrajaya Marriott Hotel di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir dipercayai merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengesahkan kerajaan menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ia menimbulkan perdebatan hangat sehingga memaksa Najib mengumumkan menolak permohonan mendapatkan hartanah berkenaan kerana tidak mahu ia dijadikan sebagai isu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, Najib menjelaskan, permohonan itu adalah berdasarkan kelayakan dan peruntukan yang ada dalam akta saraan bekas Perdana Menteri 1950 yang mana akta tersebut telah diubah suai dan diperbaiki pada tahun 2003 dan semua kemudahan tersebut diperoleh bekas-bekas perdana menteri.

Najib turut mencadangkan peruntukan kelayakan untuk permohonan tersebut dikaji semula termasuk menarik semula permohonan itu kepada semua bekas perdana menteri selepas beliau.