Beberapa lagi penyandang kerusi DUN PBB tawar diri berundur

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUCHING - Beberapa lagi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menawarkan diri untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu disuarakan semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti yang berlangsung di ibu pejabatnya di sini malam ini dengan dipengerusikan oleh Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Ya. Ada yang menawarkan, sukarela (dan) Presiden parti telah merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang sukarela, dengan rela mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada muka baharu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh PRN Sarawak jika kes Covid-19 meningkat: Anwar

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah sebenar penyandang yang menawarkan diri untuk berundur.

Sebelum ini, tiga penyandang kerusi DUN daripada PBB telah menyatakan secara umum keputusan mereka untuk tidak bertanding iaitu Datuk Abdul Wahab Aziz (Kalaka), Datuk Naroden Majais (Gedong) dan Datuk Ambrose Blikau Enturan (Katibas).

Nanta juga berkata, berikutan keputusan itu, PBB akan memperkenal muka-muka baharu sebagai usaha bagi pembaharuan parti itu dalam meneruskan legasi kecemerlangannya sebagai tulang belakang pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Saya tidak akan beritahu secara spesifik (berapa ramai muka baharu yang akan bertanding) sebab (mereka) masih di peringkat pemerhatian dan sebagainya... (masih dalam) pertimbangan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: