Wujudkan perpustakaan digital Parlimen: Rais Yatim

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim (kiri) bersama Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon melawat ke pameran buku pada Majlis Perasmian Pameran Koleksi Manuskrip dan Nadir dan Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen Malaysia di Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim (kiri) bersama Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon melawat ke pameran buku pada Majlis Perasmian Pameran Koleksi Manuskrip dan Nadir dan Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen Malaysia di Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan supaya perpustakaan digital Parlimen diwujudkan bagi memperkasa bidang legislatif dalam bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, dana kewangan harus dicari pada tahun depan untuk mewujudkan perpustakaan digital yang autoritatif, mudah diakses dan sentiasa memberi keutamaan sekali gus menjadikan ia perpustakaan legislatif terbaik di Asia.

Menurutnya, penubuhan perpustakaan yang selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 itu bukan mudah, namun mampu menjadi realiti dengan visi yang jelas, sekali gus melengkapkan negara dengan ilmu legislatif.

“Perpustakaan digital ini juga akan dirujuk oleh penyelidik atau sarjana untuk mendapatkan debat, data, maklumat dan sejarah legislatif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Koleksi Manuskrip dan Nadir serta pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Parlimen Malaysia di ruang legar Blok Ahli Parlimen dan Pentabiran, Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Perpustakaan Parlimen pada masa ini mempunyai 43,114 koleksi dokumen asal seperti Perundangan Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Penyata Rasmi Dewan Negara dan Dewan Rakyat, rang undang-undang, akta-akta serta kertas statut.

Sementara itu, Pameran Koleksi Manuskrip dan Nadir Parlimen diadakan bertujuan mengetengahkan lebih 50 bahan koleksi terpilih manuskrip dan nadir Parlimen yang merangkumi empat kategori utama melibatkan prosiding, undang-undang, pembangunan negara dan diplomasi Parlimen.

Selain itu, bagi mengimarahkan sambutan Bulan Kebangsaan Bahasa Kebangsaan, pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk Janji Temu Bersama Ras di Bernama TV, Kuiz Cakna Bahasa, Pertandingan Berbalas Pantun dan Pertandingan Menulis Jawi.

Artikel Berkaitan:

Pameran yang bertemakan Citra Tinta Warisan Parlimen diadakan bermula bulan ini sehingga Januari tahun depan, manakala sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bertemakan ‘Bahasa Dijunjung Budi Disanjung’ berlangsung pada Khamis hingga 17 Disember depan. - Bernama