Indeks jurang gender Malaysia meningkat sedikit pada 2020

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

PUTRAJAYA - Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang mengenal pasti jurang gender antara wanita dan lelaki meliputi empat subindeks, memperoleh skor 0.714 atau 71.4 peratus tahun lepas (2020), iaitu meningkat sedikit berbanding 0.709 pada 2019, menurut Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2021.

Empat sub-indeks tersebut adalah peluang dan penyertaan ekonomi; pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan; dan penguasaan politik. Skor bagi 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

“Berdasarkan skor MGGI 2020, kita berada pada kedudukan ke-74 daripada 156 negara di dunia,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Selasa susulan penerbitan laporan tersebut.

Mohd Uzir berkata, pencapaian wanita mengatasi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.059.

Pencapaian wanita dalam subindeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.956 manakala skor bagi peluang dan penyertaan ekonomi ialah 0.738, katanya.

Penguasaan politik mencatatkan nilai terendah iaitu pada 10.0 peratus atau skor 0.100, yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan dalam jawatan menteri dan Parlimen, katanya.

Mohd Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi wanita juga masih rendah iaitu pada kadar 55.3 peratus pada 2020, berbanding negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura (69.7 peratus) dan Thailand (66.8 peratus).

Pada 2020, dianggarkan 15.8 juta populasi Malaysia adalah wanita daripada jumlah keseluruhan 32.6 juta.

Artikel Berkaitan:

“Wanita sebagai ketua isi rumah dianggarkan membelanjakan RM3,666 sebulan (pada 2020) dan perbelanjaan untuk makanan dan minuman bukan alkohol ialah RM690 atau 18.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan pada 2019,” kata Mohd Uzir.

Bagi MMGI mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, tiga negeri teratas yang merekodkan skor tertinggi tahun lepas ialah Kuala Lumpur iaitu 0.853, diikuti Putrajaya (0.793) dan Perlis (0.782). - Bernama