Budak lima tahun maut terjatuh dari tingkat 16 kondominium

Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium. - Foto Twitter Bernama
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium. - Foto Twitter Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak di sini pagi Rabu.

Ibu saudara kanak-kanak itu Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi apabila tiba-tiba beliau sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu selepas didapati tiada di biliknya.

"Semasa kejadian, saya sedang mandi dan dia (anak saudara) baru sahaja bangun tidur kerana dia tidur lewat semalam, namun sebaik sahaja saya siap mandi, saya tidak nampak kelibat dia (anak saudara) di rumah.

“Saya terus telefon Bella (ibu kanak-kanak itu) yang berada di luar semasa kejadian,” katanya kepada pemberita di ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, beliau mendapat tahu bahawa anak saudaranya itu berada di tingkat dua kondominium itu selepas dihubungi oleh Bella, yang dimaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.

Fauziah berkata, anak saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.

Sementara itu teman lelaki Bella yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Am’ berusia 20-an berkata, dia sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Bella Jumaat ini.

Am berkata, beliau sedang tidur di rumahnya di Ampang semasa mendapat panggilan telefon daripada bakal isterinya itu yang memberitahu bahawa anaknya hilang. - Bernama

Artikel Berkaitan: