PRN Melaka: Pas harap bertanding lima kerusi

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Pas menaruh harapan tinggi agar dapat bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu dilihat munasabah untuk dipertandingkan kerana tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.

Walau bagaimanapun katanya, jumlah kerusi sebenar akan dimuktamadkan ketika rundingan sebelum hari penamaan calon pada 8 November depan.

"Saya belum dimaklumkan secara rasmi berkaitan jumlah kerusi, namun mengikut kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kemungkinan kita akan bertanding lima kerusi tetapi itu bergantung kepada hasil rundingan.

"Lima kerusi itu saya rasa paling munasabah, walaupun sebelum ini bertanding 24 kerusi. Pada masa itu semua tiga penjuru, saya harap kali ini berlaku dua penjuru sahaja", katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini pada Rabu.

Jumaat lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti terbabit berkemungkinan besar akan bertanding di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka November depan.

Menurutnya, secara dasar perkara itu sudah dipersetujui semua parti komponen dalam gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkata, pecahan kerusi antara parti komponen PN bergantung kepada keadaan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengulangi pendirian parti untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.