MPN bentuk kumpulan desak segerakan gubal anti lompat parti

Kenyataan akhbar oleh Sekretariat MPN pada Isnin.
Kenyataan akhbar oleh Sekretariat MPN pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan membentuk satu gerakan kumpulan pendesak bagi menyegerakan penggubalan atau pindaan undang-undang menghalang lompat parti.

Sekretariat MPN dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, gerakan tersebut akan dibentuk oleh ahli MPN yang merupakan ahli Parlimen dan pakar-pakar perlembagaan.

"Apa yang berlaku di Melaka (kejatuhan kerajaan negeri) tidak sepatutnya terjadi dan tindakan mengheret rakyat Melaka ke kancah politik sehingga mampu menyebabkan risiko gelombang baharu Covid-19 amat dikesali.

"Sekiranya mekanisme politik yang tepat tidak digunakan, terdapat kemungkinan berlaku lagi keadaan yang sama," menurut kenyataan itu.

Perkara itu merupakan antara keputusan dicapai menerusi perbincangan dalam talian yang diadakan MPN dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu.

Perbincangan tersebut dihadiri oleh Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan, Datuk Dr Fadzilah Kamaluddin, Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Hadir sama, pakar undang-undang, Profesor Datuk Dr Salleh Buang, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilaksanakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat selepas empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN tersebut ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).