Muhammad Hakimi perlu berehat lebih tiga bulan selepas bedah tumit

Muhammad Hakimi
Muhammad Hakimi
A
A
A

ATLET lompat kijang kebangsaan Muhammad Hakimi Ismail, terpaksa berehat lebih tiga bulan selepas menjalani pembedahan di bahagian tumit kaki kirinya di sebuah hospital swasta pada Jumaat lepas.

Atlet berusia 30 tahun yang juga juara bertahan Sukan SEA, dijangka tidak dapat menyertai edisi Hanoi 2021 pada Mei depan, kerana berkemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam kejohanan kelayakan dalam tempoh pemulihan itu.

Pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali berturut-turut sejak 2015 itu berkata, beliau telah menanggung kecederaan berkenaan selama empat tahun, yang menjadi lebih parah tahun ini.

“Menurut doktor, pemulihan tumit saya untuk menjalankan latihan lompatan akan mengambil masa tiga bulan atau lebih bergantung kepada keadaan saya, jadi saya harus menjalani proses pemulihan ini dengan sebaik mungkin.

“Namun begitu, saya berasa amat lega menjalani prosedur pembedahan ini sebab saya boleh mencapai tahap yang lebih tinggi dalam latihan saya, namun saya harus berhati-hati dan sentiasa sedar akan risiko kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Muhammad Hakimi berkata, dengan peluang menyertai Sukan SEA di Vietnam dilihat tipis, beliau menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Asia Hangzhou, China bermula 10-25 September depan.

“Saya sasarkan Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan setelah tumit saya sembuh sepenuhnya, supaya prestasi saya tidak dihindari oleh isu kecederaan,” jelasnya.

Muhammad Hakimi juga pernah meraih perak Sukan SEA 2013, selain meraih kedudukan keenam pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dan kedudukan ketujuh Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang. - Bernama

Artikel Berkaitan: