Bunuh rakan: Polis tahan suspek warga Myanmar

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL - Polis berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai suspek utama bagi kes bunuh, dalam kejadian menikam rakan senegara di sebuah kilang di Mahsan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintandan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 40 tahun ditangkap pada Selasa lalu, di Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Utara dalam cubaan melarikan diri.

"Sebelum tertangkapnya suspek utama ini, pihak polis berjaya menahan seramai lapan suspek berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun secara berperingkat bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan keatas kesemua suspek berkenaan, kita telah mengenalpasti suspek utama berusia 40 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Maut ditikam rakan ketika mabuk

"Hasil siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham, ketika mereka sedang mabuk, semasa berada di Kilang Aluminium Jutamas Enrich Sdn Bhd.," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Tambahnya, dalam kejadian ini, pihak polis telah menjumpai senjata iaitu gunting yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa dictempat kejadian.

Jelas beliau, mangsa yang berusia 36 tahun adalah pekerja di kilang besi NMS Stainless Steel Engineering, Industri Mahsan, Bandar Seri Jempol, manakala suspek merupakan pekerja kilang aluminium Jutamas Enrich Sdn Bhd, Industri Mahsan, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek telah direman mulai 18 hingga 26 Oktober, dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), (Akta 574) di lokap, IPD Jempol.

Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dibawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan (Akta 574) keatas suspek yang disyaki terlibat untuk proses pendakwaan.

Pada 17 Oktober lalu, seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam ketika mabuk bersama tiga rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah kilang di Mahsan pada awal pagi Ahad.

Pada kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Moe Naing, 36, dipercayai meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam di beberapa bahagian badan.