Polis kesan enam suspek kes tetak lelaki

AZLAN
AZLAN
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis Melaka kini sedang mengesan enam individu bagi membantu siasatan membabitkan pergaduhan bersenjatakan parang di Taman Sebang Mutiara Gadek yang mengakibatkan kecederaan parah seorang lelaki, 5 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisoner, Azlan Abu berkata, kesemua lelaki terbabit berusia 24 hingga 39 tahun.

Dalam kejadian pada jam 7.58 malam itu, mangsa berusia 34 tahun baru sahaja memasuki halaman rumahnya sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah kenderaan.

Menurut Azlan, empat suspek yang bersenjata parang kemudian turun dari kenderaan lalu menyerang mangsa yang tidak sempat melarikan diri.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat ditetak di bahagian tangan dan kaki kini masih dirawat di Hospital Alor Gajah.

"Polis melancarkan Ops Cantas pada 6 September dan menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 31 tahun di sekitar kawasan Alor Gajah.

"Hasil siasatan mendapati salah seorang daripada mereka merupakan suspek utama dalam kes itu dan dituduh di Mahkamah Alor Gajah, Melaka di bawah Seksyen 307," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya berjaya menahan lima lagi lelaki berusia 24 hingga 39 tahun di sekitar Melaka Tengah Isnin lalu dan kesemuanya direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kes ini dan mohon kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya individu yang masih bebas," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata.