Bersatu Melaka terima senarai calon PRN

Mohd Rafiq
Mohd Rafiq
A
A
A

MELAKA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka telah menerima senarai calon-calon daripada enam ketua bahagian di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, senarai calon yang diterima itu termasuk daripada calon dalam struktur parti, calon sayap Srikandi dan Armada Malaysia untuk diketengahkan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh peringkat tertinggi parti.

Bagaimanapun katanya, senarai pendek calon akan diperhalusi dan ditentukan oleh presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum tiba hari penamaan calon pada 8 November depan.

"Ketua-ketua bahagian telah menghantar senarai calon dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Saya terbuka untuk menerima daripada pelbagai sumber yang mencalonkan calon-calon ini dan selepas itu prosesnya saya akan mengadap dan berjumpa presiden parti untuk diperhalusi satu persatu," katanya.

Mohd Rafiq ketika menziarahi sebuah keluarga di Kampung Tanah Merah, Krubong pada Selasa.
Mohd Rafiq ketika menziarahi sebuah keluarga di Kampung Tanah Merah, Krubong pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ziarah dan penyerahan kit makanan kepada penduduk yang terkesan Covid-19 di Kampung Tanah Merah, Krubong pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka yakin komponen parti itu akan menampil dan mengetengahkan calon berwibawa, berkaliber dan berkarisma iaitu 'winnable candidate' dalam struktur parti malah tidak ketinggalan calon-calon muda profesional yang mempunyai semangat juang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, calon-calon muda itu sebagai persiapan awal PN untuk berhadapan dengan pengundi-pengundi muda iaitu pengundi 18 tahun yang akan dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ujarnya, setakat ini ketiga-tiga parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan masih dalam fasa rundingan sebelum memuktamadkan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi ketiga-tiga parti itu.

"Insya-ALLAH saya yakin minggu ini kita akan muktamadkan kerusi yang akan ditandingi ketiga-tiga parti ini.

"Setakat ini 50 peratus rundingan kerusi antara komponen parti Melaka telah selesai dan hanya berbaki 50 peratus sahaja lagi," katanya.