Warisan ke Semenanjung

Shafie Apdal
Shafie Apdal
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan mereka berhasrat untuk mengembangkan sayap ke Semenanjung dan bekerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) jika parti yang belum didaftarkan itu berhadapan dengan isu pendaftaran.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Warisan akan kekal sebagai parti pelbagai kaum dan yakin mendapat sambutan di Semenanjung kelak.

Menurut Shafie, Warisan membuat keputusan untuk menawarkan platformnya kepada Muda kerana itu adalah satu-satunya cara terbaik untuk membolehkan Muda menyertai pilihan raya umum.

"Saya sendiri sudah maklumkan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Warisan bersedia menawarkan tempat dan platform kepada Muda agar mereka tidak perlu menggunakan tiket Bebas dalam PRU akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Concorde yang dihoskan oleh Penasihat Editorial The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai secara maya pada Rabu.

Hadir sama, pengarang-pengarang kanan media Malaysia dan bekas-bekas pengarang kanan.

Ditanya, kenapa Muda menjadi pilihan Warisan, Shafie berkata, kerjasama antara partinya dengan Muda sudah lama berjalan dan mereka berkongsi aspirasi dan wawasan yang sama untuk masa depan Malaysia.

Shafie menambah, kerjasama tersebut juga kebetulan sejajar dengan hasrat Warisan untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga menegaskan Warisan berharap untuk melancarkan parti itu di Semenanjung menjelang hujung tahun ini.

Kata beliau, Majlis Tertinggi parti itu secara prinsipnya telahpun bersetuju untuk berbuat demikian dan cuma perlu melihat beberapa perincian sahaja lagi.

Shafie juga menjelaskan keperluan kepada Malaysia bergerak maju ke hadapan tanpa perlu lagi berpaut kepada isu agama dan bangsa kerana itu telah termaktub dan terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.