Perlu pinda Perlembagaan, wajibkan pemilih keluar mengundi

Ahmad Maslan (kanan) menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Ahmad Maslan (kanan) menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan wajar meminda Perlembagaan bagi mewajibkan pemilih supaya keluar menggundi atau dikenakan tindakan sekiranya ingkar, kata Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana peratusan keluar mengundi pada pilihan raya terdahulu menunjukkan ramai pemilih tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Lihat data Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong. Hanya 43 peratus keluar mengundi. PRK Seri Setia (44 peratus). PRK Sungai Kandis (49.4 peratus). Semua di bawah 50 peratus.

"Malah PRK Port Dickson, kawasan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim), hanya 58.2 peratus yang keluar mengundi,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada masa sama, Ahmad juga mencadangkan agar tindakan denda sehingga RM200 dikenakan kepada mereka yang tidak keluar mengundi, selain tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu.

"Mengundi ini perlu diwajibkan. Ada 22 negara mewajibkan mengundi. Antaranya Argentina, Costa Rica, Mesir, Honduras, Mexico, malah negara jiran kita Thailand dan Singapura.

"Kita perlu pinda Perlembagaan dan wajibkan rakyat Malaysia mengundi. Lima tahun sekali sahaja. Itu pun tak pergi mengundi. Apa benda ini? Bukan sebulan sekali mengundi," katanya.

Artikel Berkaitan: