Mesyuarat bulanan MKT bincang isu Ku Li letak jawatan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Isu peletakan jawatan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dijangka menjadi agenda utama mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Rabu ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat bulanan itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia sudah kerap kali diadakan sebelum ini bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit termasuk politik.

"Mesyuarat bulanan MKT UMNO akan diadakan pada sebelah malam.

"Perkara berbangkit termasuk politik antaranya peletakan jawatan Ahli Parlimen Gua Musang sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau mangsa kebakaran di Jalan Parit Baran Sangkar Dua Ayer Baloi di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Tengku Razaleigh mengumumkan meletak jawatannya susulan didakwa kecewa dengan UMNO yang memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Abdullah di Jalan Parit Baran Sangkar Dua Ayer Baloi pada Jumaat.
Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Abdullah di Jalan Parit Baran Sangkar Dua Ayer Baloi pada Jumaat.

Surat peletakan jawatannya dikatakan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut memberikan tiga cadangan bagi mengatasi isu siswazah menganggur di negara ini yang disifatkan cukup membimbangkan.

"Pertama kerajaan digesa hidupkan semula Skim Latihan 1Malaysia ( SL1M) yang memberi peluang kepada siswazah menjalani latihan industri di jabatan dan agensi kerajaan. Tidak kisahlah jika kerajaan hendak ubah nama kepada Skim Latihan Keluarga Malaysia.

"Kedua, bantuan geran atau pinjaman syarikat yang baharu dimulakan oleh graduan perlu diperkenalkan manakala ketiga kursus asas perniagaan kepada penutut institut pengajian tinggi," katanya.

Mengulas bantuan yang akan diberikan kepada mangsa kebakaran terbabit, Ahmad berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga nelayan itu mendapatkan bantuan rumah Baitulmal.

Abdullah Ariffin, 71, bersama isterinya Sumarni Mohd Said, 50 dan tiga anak mereka berusia antara 16 hingga 26 tahun tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran pada Rabu lalu.