Maritim bantu pindahkan kapten kapal kargo diserang angin ahmar

Mangsa yang mengalami serangan angin ahmar dipindahkan daripada kapal kargo untuk dihantar ke HSNZ di Kuala Terengganu. - Foto Ihsan Maritim Malaysia Terengganu
Mangsa yang mengalami serangan angin ahmar dipindahkan daripada kapal kargo untuk dihantar ke HSNZ di Kuala Terengganu. - Foto Ihsan Maritim Malaysia Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengaktifkan misi evakuasi perubatan (Medevac) bagi membantu membawa seorang kapten kapal kargo yang diserang angin ahmar pada Jumaat.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, dalam kejadian awal pagi itu, kapal kargo Dongbang Giant 3 yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Thailand.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan Pusat menerima laporan awal bahawa kapten kapal berkenaan dipercayai mengalami serangan angin ahmar.

"Maklumat itu kemudiannya disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu sebelum Kapal Maritim (KM) NUSA yang sedang beroperasi segera ke lokasi kecemasan sekitar jam 12 tengah malam tadi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa yang merupakan warga Korea Selatan berusia lingkungan 68 tahun dipindahkan dari kapal berkenaan sebelum dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk mendapatkan bantuan perubatan.

"Mangsa selamat tiba di jeti dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 2 pagi," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang awam supaya melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09 6224357.

Artikel Berkaitan: