Tiada usul undi percaya PM dalam aturan mesyuarat Parlimen

Tangkap layar ciapan di Twitter Fahmi pada Selasa.
Tangkap layar ciapan di Twitter Fahmi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Usul undi percaya tidak diletakkan dalam agenda aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bakal bersidang pada bulan ini, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Selasa, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, aturan urusan mesyuarat Parlimen diterimanya menetapkan antara usul terawal adalah berkenaan pemilihan Timbalan Speaker dan cadangan daripada Menteri Dalam Negeri.

“Soalan pertama (pada) 14 September ini oleh Ahli Parlimen Jempol (Datuk Mohd Salim Mohd Sharif) diikuti Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Usulnya ialah pilih Timbalan Speaker, perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara untuk tidak halang ahli Dewan Rakyat ke Parlimen dan usul menjunjung kasih.

“Tiada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya yang turut berkongsikan aturan urusan mesyuarat yang baru diterimanya itu dalam ciapan tersebut.

Pada Sabtu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataanya berkata, undi percaya di Dewan Rakyat tidak perlu dilaksanakan memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Istana Negara pada 18 Ogos lalu dalam kenyataannya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, titah Seri Paduka Baginda itu selaras seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Tak perlu bentang usul undi percaya: Pas