Norza mahu pacu MOM main peranan lebih besar

Norza (kiri) bersama Hamidin menunjukkan Kad Jemputan Rasmi Sukan Asia 2022 selepas sidang media mengenai pencalonan Lembaga Eksekutif MOM 2021-2025 di Wisma OCM, pada Jumaat. Foto Bernama
Norza (kiri) bersama Hamidin menunjukkan Kad Jemputan Rasmi Sukan Asia 2022 selepas sidang media mengenai pencalonan Lembaga Eksekutif MOM 2021-2025 di Wisma OCM, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

TAN SRI Mohamad Norza Zakaria berhasrat memperkasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam arena sukan negara selepas mempertahan jawatan presiden tanpa bertanding bagi penggal 2021/2025.

Beliau tidak mahu MOM terus dianggap sebagai 'ejen perjalanan' atlet ke sukan bertemasya sebaliknya turut terlibat dalam pembangunan dan perancangan terutama bagi temasya besar seperti Olimpik.

Mohamad Norza turut berhasrat memberi keutamaan dalam meneruskan usaha mewujudkan skim pencen bagi Olimpian dan melihat sejauh mana relevannya lokasi pejabat MOM (Wisma OCM) itu kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA).

"Kita perlukan satu tempat yang mungkin dapat akses kepada semua pemegang taruh... Contoh NSA mempunyai tempat yang moden untuk mereka dapat bersama-sama kita dan kemudahan latihan kepada atlet.

"Kita juga perlu adakan kursus, persidangan dan sebagainya yang lebih banyak dalam suasana yang moden dan kondusif. Kita juga melihat model FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang akan berpindah ke Putrajaya, dilengkapi dengan kemudahan latihan," katanya pada sidang akhbar di Wisma OCM pada Jumaat.

Wisma OCM, bangunan sembilan tingkat yang dibina pada 1991 dan terletak di Jalan Hang Jebat, di sini menempatkan pejabat MOM serta beberapa persatuan sukan selain memiliki fasiliti seperti dewan dan Hotel Olimpik yang diuruskan oleh pihak ketiga.

Mohamad Norza juga mahu terus bekerja rapat dengan semua pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam meneruskan perancangan untuk beberapa temasya utama seperti Sukan SEA, Komanwel dan Asia pada tahun depan serta Olimpik Paris 2024.

"Selamat datang Menteri Belia dan Sukan yang baharu, kami harap kami dapat bekerjasama untuk mengangkat sukan negara ke tahap paling tinggi. Kami harap boleh bincangkan post-mortem Olimpik Tokyo 2020 dengan beliau, menambah baik rancangan masa depan dan apa sahaja kelemahan yang harus diperbaiki segera, kami akan melakukan penambahbaikan di mana sahaja yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan Olimpik Paris hanya dalam tempoh tiga tahun lagi, kami perlu segera merangka hala tuju bagi Paris 2024," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamidin Mohd Amin yang memenangi jawatan Timbalan Presiden, Moira Tan (Penolong Setiausaha Agung) dan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin (Bendahari) yang menang tanpa bertanding menjelang pemilihan MOM pada 4 September ini.

Hamidin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, jawatan itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang akan dipikul dengan baik oleh beliau serta sedia mencurahkan bakti untuk MOM.

"Saya selalu jadi imam tapi kali ini nak jadi makmum, maknanya saya akan jadi makmum yang setia dan bekerja. Saya akan beri sokongan kuat kepada Norza dan MOM untuk lebih berjaya," katanya. - Bernama