[VIDEO] Ismail Sabri jangan ulangi kesilapan Muhyiddin: Shahrir

Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan supaya tidak mengulangi kesilapan dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, Muhyiddin melakukan beberapa kesilapan semasa menjadi memegang jawatan nombor satu negara itu.

"Kesilapan utama Perdana Menteri sebelum ini adalah beliau telah 'memandulkan' Parlimen. Dewan Rakyat ialah punca kuasa seseorang Perdana Menteri. Sebab itulah ditanya setiap satu ahli Parlimen siapa yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri.

"Kedua, Perdana Menteri adalah Ketua Dewan, 'Leader of the House' dan demikian kenalah juga memimpin Dewan Rakyat.

"Caranya, jadikan Dewan Rakyat sebagai landasan untuk 'engage' atau melibatkan kesemua Ahli Parlimen dalam menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi rakyat dan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin.

Ismail Sabri Yaakob 
 - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob 
 - Foto Bernama

Keputusan itu ditetapkan Agong selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat dan beliau bakal mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, 'Perdana Menteri kelapan' terlalu 'ego' sehingga tidak langsung mahu menjadikan Parlimen sebagai landasan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen sama ada pembangkang atau kerajaan.

Katanya, Dewan Rakyat juga mempunyai pelbagai peranan yang seharusnya dimanfaatkan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

Menurut beliau, Dewan Rakyat mempunyai berbagai jawatankuasa yang patut dibenar memainkan peranan untuk manfaat kerajaan.

"Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) umpamanya, boleh memeriksa akaun-akaun kementerian, jabatan dan entiti yang mendapat dana awam.

"Dewan Rakyat juga adanya Ketua Pembangkang. Tak payah nak ikut cara Perdana Menteri kelapan sehingga hendak dijadikan Ketua Pembangkang Bertaraf Menteri. Bukakan perbincangan antara Perdana Menteri kelapan dengan Ketua Pembangkang," katanya.