Rasuah: Seorang lagi direman libat projek jalan, sekolah tahfiz

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi pegawai jabatan kerajaan direman lima hari bermula Sabtu hingga Rabu di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM130,000 bagi projek jalan dan sekolah tahfiz pada 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Raden Farah Shirazee Ahmadi selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Suspek berusia 40 tahun itu bertugas sebagai jurutera bangunan Gred 41 di sebuah jabatan kerajaan di Hulu Selangor.

Suspek ditahan pada jam 2.50 petang Jumaat ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Pada Rabu, empat individu termasuk seorang jurutera jabatan kerajaan yang sama direman lima hari bagi membantu siasatan kes.

Mahkamah turut membenarkan reman terhadap seorang penolong jurutera selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM8,000 sebagai balasan memperakukan kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan sama.

Suspek jurutera dan penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM120,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah itu sekitar tahun 2019 hingga tahun lalu.

Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek berkenaan tetapi menggunakan nama syarikat lain, bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.