19 orang terkandas tanah runtuh, banjir kilat diselamatkan

Anggota bomba JBPM Kedah melakukan kerja mencari dan menyelamat penduduk terkandas akibat tanah runtuh di kawasan Gunung Jerai pada Rabu.
Anggota bomba JBPM Kedah melakukan kerja mencari dan menyelamat penduduk terkandas akibat tanah runtuh di kawasan Gunung Jerai pada Rabu.
A
A
A

YAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan 19 orang dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di sekitar kawasan Gunung Jerai di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, jumlah itu termasuk empat lelaki yang terkandas di puncak Gunung Jerai.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah masih menerima beberapa panggilan yang menyatakan masih terdapat mangsa yang terkandas dalam banjir tersebut.

"PGO Kedah menerima panggilan dari Sistem MERS 999 berhubung banjir kilat dan tanah runtuh di sekitar kawasan sekitar Gunung Jerai lebih kurang jam 4.35 petang.

"Seramai 24 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, BBP Yan dan BBP Sungai Petani bergegas ke lokasi selepas menerima laporan berhubung kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, laporan awal diterima menyatakan berlaku tanah runtuh di Kilometer 8 Gunung Jerai dan dua lagi kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Yan melibatkan beberapa buah perkampungan serta sekitar Merbok, Sungai Petani.

"Selain itu, kita turut menerima laporan yang memaklumkan terdapat beberapa orang mangsa yang terkandas di puncak Gunung Jerai, selain beberapa rumah dilanda banjir kilat sebelum mereka berjaya diselamatkan," jelas beliau.

Tambah beliau, pasukan penyelamat kini giat melakukan kerja mencari dan menyelamat di kawasan puncak Gunung Jerai dan beberapa penempatan penduduk berhampiran lokasi banjir.

Artikel Berkaitan:

"PGO Kedah juga mengaktifkan pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Pasukan Kemahiran Pelbagai (MUST) ke lokasi kejadian bagi membantu operasi tersebut," katanya.