Pemimpin politik perlu beri tumpuan aspek pemulihan negara

Jufitri Joha
Jufitri Joha
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa agar pemimpin politik menumpukan perhatian penuh kepada aspek pemulihan negara.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, MBM berdiri teguh bersama rakyat yang telah penat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak menggesa dengan tegas agar pemimpin politik kasihanilah rakyat.

"Pihak kami berharap agar semua pihak tanpa mengira fahaman politik berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu buat sementara waktu bagi menjayakan program vaksinasi yang dilihat merupakan jalan keluar daripada masalah Covid-19.

"Dengan kadar vaksinasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50 peratus, kami beranggapan kini bukan masa sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang akan terus merungsingkan belia dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, MBM turut menggesa semua pihak agar tidak menjadikan wabak Covid-19 sebagai alat politik bagi tujuan kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air

Jelas Jufitri, saranan tersebut selaras dengan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail yang mahukan kesemua pihak agar memberi tumpuan terhadap nasib yang menimpa rakyat akibat Covid-19 ketika ini.

"Teguran daripada kedua-dua baginda seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa," katanya.

Artikel Berkaitan: