Perdana Menteri tidak sah, risikokan negara pada perundangan

Mohamed Hanipa dan Muhyiddin
Mohamed Hanipa dan Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mendakwa jawatan Perdana Menteri tidak sah boleh mengheret atau mendedahkan negara kepada risiko perundangan yang amat tinggi.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh disifatkan sebagai 'misfeasance in public office' boleh dikenakan saman atas kuasa tindakan.

“Pada tahun 2017, Mahkamah Persekutuan dalam negara ini pernah memutuskan isu tersebut antara lain memutuskan bahawa Perdana Menteri dan para menteri boleh disaman atas kuasa tindakan 'misfeasance in public office',” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, kewujudan undang-undang dan Perlembagaan adalah bagi memastikan setiap tindakan mana-mana pihak khususnya kerajaan sentiasa sah dalam ruang lingkup tersebut.

Tambahnya, sering diperkatakan bahawa kewujudan Perlembagaan melambangkan kuasa kerajaan itu terhad dan tidak mutlak.

“Nampaknya, sekarang ini agak berbeza.

“Kewujudan Perlembagaan amat penting sebagai alat pengekang kuasa kerana jika mana-mana tindakan kerajaan itu tidak sah, hakikatnya ia meletakkan sesebuah negara itu berada dalam bahaya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan Perdana Menteri ketika ini jelas melanggar sumpah kesetiaan yang diikrarkan bagi menjunjung dan mempertahankan ketinggiannya.

Artikel Berkaitan:

“Beliau sama sekali tidak menghormati undang-undang dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

“Malang sungguh bagi Malaysia kerana terpaksa melakar sejarah buruk dan memalukan ini,” ujarnya.