'Normal keluar, masuk parti politik'

Gambar kecil: Mohd Yazid
Gambar kecil: Mohd Yazid
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Tindakan keluar parti merupakan perkara normal dalam politik dan keputusan yang dibuat perlu dihormati.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, keputusan Tengku Panglima Besar, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar keluar daripada parti itu tidak memberi kesan kepada kepimpinan Bersatu Pahang.

Beliau mengulas demikian susulan peletakan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Temerloh itu.

"Tengku Azlan telah menyerahkan surat peletakan jawatan dalam parti itu pada Isnin.

"Ia adalah lumrah, normal, keluar dan masuk parti. Mungkin mereka nak berehat atau iklim politik sudah berubah.

"Ketiadaan beliau (Tengku Azlan) tidak memberikan kesan ketara kerana beliau tidak menjawat sebarang jawatan di peringkat negeri kecuali di bahagian," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, perjuangan parti itu masih relevan dan tidak perlu bimbang dengan situasi tersebut.

"Bersatu Pahang akan terus bekerja seperti biasa untuk memastikan nasib rakyat terbela," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Temerloh, Tengku Azlan meletak jawatan daripada parti berkenaan serta-merta dan mengumumkan kembali ke pangkuan UMNO.

Menurut laporan UMNO Online, bekas Ahli Parlimen Jerantut itu menyerahkan borang permohonannya melalui UMNO Bahagian Paya Besar kepada Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Azlan keluar Bersatu, kembali ke pangkuan UMNO