Ismail Sabri dedah Ahmad Zahid tiada hala tuju jelas

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada hala tuju yang jelas ketika membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin punca ahli Parlimen UMNO tidak menyokong saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan perkara tersebut menerusi perbualan kumpulan WhatsApp bahawa beliau dan rakan-rakan tidak tahu apa strategi UMNO dalam menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Beliau berkata, tindakan menarik diri tanpa perancangan hanya merugikan parti kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

“Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO lalu saya tanya jika semua ahli Parlimen menarik diri apa perancangan seterusnya? Jika kerajaan tumbang apa untungnya kepada UMNO?” katanya memetik laporan portal Suara.TV pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mendedahkan beliau ada bertanya bagaimana UMNO hendak membentuk kerajaan dengan hanya 42 kerusi.

Bagaimanapun katanya, pertanyaan beliau itu tidak mendapat respons yang menyakinkan daripada Ahmad Zahid.

“Kita hanya ada dua pakatan lain yang besar iaitu PN dan Pakatan Harapan (PH). Jika hendak jadi kerajaan kita kena bergabung dengan salah satu. Kita tolak PH dan PN, jadi macam mana hendak membentuk kerajaan?”

“Jawapan Presiden...itu strategi..strategi tidak boleh bincang dalam mesyuarat,” kata Ismail.

Artikel Berkaitan:

UMNO menerusi kenyataan pada Selasa mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan PN sekali gus menyaksikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini terbatal.

Ahmad Zahid ketika sidang media dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam MKT yang berlangsung pada Selasa.

Pada hari yang sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli jemaah menteri kerajaan Persekutuan.