Sokongan 31 ahli Parlimen BN teruskan usaha bendung Covid-19

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media tergempar bersama ahli-ahli BN di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media tergempar bersama ahli-ahli BN di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sokongan 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dinyatakan pada Jumaat mampu menimbulkan suasana gencatan politik sementara menunggu Dewan Rakyat bersidang bulan depan.

Penganalisis politik dan geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Azmi Hassan ketika dihubungi berkata, sokongan itu juga membolehkan negara terus fokus dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19 apabila ahli Parlimen UMNO dan BN yang mempunyai tanggungjawab, dapat melunaskan kewajipan masing-masing tanpa tekanan politik.

“Beberapa portfolio penting (berkaitan pandemik Covid-19) dipegang oleh UMNO iaitu Kluster Keselamatan dan tiga kementerian iaitu Kesihatan; Luar Negara serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Ini merupakan portfolio yang akan menentukan hala tuju negara melalui beberapa fasa untuk keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Azmi berkata, jika menteri-menteri UMNO itu meletak jawatan seperti diarah presiden parti, usaha memulihkan negara daripada pandemik akan terbantut.

Biarpun Perdana Menteri boleh melantik menteri baharu untuk memegang portfolio berkenaan, ia tetap akan menyebabkan beberapa urusan terencat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat mengenai 31 ahli Parlimen UMNO dan BN yang tetap bersama kerajaan dan menyokong pendekatan untuk menentukan keabsahan kerajaan di Parlimen.

Azmi berkata, dalam keadaan sekarang semua pihak tidak boleh membiarkan sebarang urusan terhenti walaupun seketika kerana harapan rakyat adalah agar negara boleh mengharungi pandemik Covid-19 dalam keadaan bersatu.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri dalam perutusan khas pada Rabu dilaporkan berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan membenarkan usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

Muhyiddin berkata, melalui cara itu, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Sebelum itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai 11 ahli Parlimen UMNO mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Profesor Dr Zaid Ahmad dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), ketika dihubungi berharap aktiviti 'politicking' akan lebih kendur selepas sidang media Timbalan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen BN hari ini.

Menurutnya, kerajaan pada masa ini mempunyai banyak tanggungjawab menangani masalah kesihatan iaitu penularan pandemik.

“Diharap tidak ada perhimpunan dilakukan dalam tempoh ini sehingga persidangan Parlimen. Ketika (sidang Parlimen) itu setiap Ahli Parlimen boleh menyatakan pendirian masing-masing,” katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Datuk Dr Nasrudin Mohammed ketika dihubungi berkata sokongan kepada kerajaan perlu dibuat secara rasmi di Parlimen.

“Rakyat sudah pun terbeban dalam pelbagai cara dan bentuk bukan sahaja disebabkan Covid-19 malah ekonomi. Kepimpinan negara yang berwibawa dan kompeten lebih diutamakan untuk pencapaian jangka panjang,” katanya. - Bernama