Perpecahan BN tidak dapat diselindung lagi: Shahrir

Shahrir Samad
Shahrir Samad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perpecahan Barisan Nasional (BN) dalam politik semasa ketika ini tidak boleh diselindungkan lagi.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, di peringkat atasan UMNO dan BN sememangnya sudah berpecah dengan masing-masing mempunyai hala tuju sendiri.

"Ianya tidak boleh diperbetulkan masa ini. Insya-ALLAH kerana akar umbi UMNO khususnya masih kekal, ianya diperbetulkan pada PRU (pilihan Raya Umum) yang akan datang.

"MCA dan MIC sudah pun menyokong kuat kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ianya tanda keselesaan kepimpinan kedua-dua buah parti pengasas BN dengan kerajaan PN. Bagaimana pula kebersamaan ini dicerminkan di peringkat akar umbi mereka masih belum jelas.

"Ini analisa yang berpandu kepada fakta dan angka. Maka ianya mendalam dan berasaskan kepada catitan peristiwa yang berlaku," katanya dalam entri terbaharu Facebook miliknya pada Ahad.

Shahrir berkata, analisa paling mudah ialah berpandukan kepada satu fakta sahaja yang menunjukkan kepatuhan seseorang ahli Parlimen BN kepada gabungan tersebut selepas mereka mereka bertanding sebagai calon BN pada PRU lalu.

Tambah beliau, setiap ahli Parlimen BN dikehendaki menyumbang lima peratus daripada elaun ahli Parlimen mereka setiap bulan kepada BN.

Jelasnya, elaun mereka yang dikecualikan daripada cukai pendapatan ialah RM16,000 sebulan dan mereka perlu menyumbang RM800 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Fahaman saya, hanya berbelas sahaja ahli Parlimen BN yang membuat potongan bulanan kepada BN. Sumbangan lima peratus ini sebenarnya kecil berbanding dengan parti lain.

"Sambil elit parti membuat penilaian dan keputusan tersendiri, mahupun melompat keluar, menyokong secara terbuka PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dari masa Tun Dr Mahathir (Mohamad) hingga kepada Tan Sri Muhyiddin dan akhirnya tidak sanggup membuat potongan bulanan elaun mereka, akar umbi sedar dan bersedia untuk melihat suatu barisan baharu calon-calon parti pada PRU15," katanya.

Beliau mendakwa, selepas PRU14 bermula di Sabah, majoriti ketua-ketua bahagian UMNO negeri itu mengikut nasihat seorang pemimpin yang pernah berkedudukan tinggi dalam UMNO untuk berbuat demikian.

Katanya, ahli Parlimen bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO serta BN melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum 16 lagi ahli Parlimen UMNO dan BN melompat keluar iaitu 15 menyertai Bersatu dan seorang lagi menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang ditandingi Bersatu dan MCA katanya, enam ahli Parlimen UMNO dan BN secara terbuka menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

"Namun yang lima ini masih kekal bersama ketua mereka (seorang yang lebih suka bertindak sebagai tangan ghaib) masih lagi berada dalam UMNO.

"Maknanya walaupun UMNO masih mempunyai 39 ahli Parlimennya berstatus sebagai wakil rakyat BN, setelah 38 bulan berlalu semenjak PRU14, UMNO dan seterusnya BN, sudah berpecah kepada tiga kumpulan sekurang-kurangnya," katanya.