Liu Ying tidak mahu terlalu fikir komen negatif

Liu Ying (kanan) dan Peng Soon gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. -Foto Facebook MSN
Liu Ying (kanan) dan Peng Soon gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. -Foto Facebook MSN
A
A
A

SEKALIPUN dilemparkan komen negatif di medial sosial susulan prestasi mengecewakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu sehingga boleh menjejaskan prestasinya pada kejohanan akan datang.

Pemain berusia 32 tahun itu berkata, seperti mana peminat sukan tanah air, beliau dan gandingannya Chan Peng Soon juga terkesan kerana gagal merealisasikan harapan memberikan impak cemerlang pada temasya Olimpik kali ini walaupun sudah berusaha sebaik mungkin.

“Saya faham, mereka (netizen) meletakkan harapan tinggi kepada kami, sebab itu mereka kritik prestasi kami (di Sukan Olimpik Tokyo). Tetapi bagi saya yang paling penting sebagai atlet kita sudah melakukan apa yang terbaik.

“Kita bermain untuk menang, bagi diri sendiri dan negara. Sekiranya komen mereka (netizen) positif, kita akan terima tetapi jika komen mereka negatif sehingga menjejaskan prestasi kami di gelanggang, saya tidak mahu ambil kisah,” katanya ketika ditemui di Musashino Forest Sport Plaza.

Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, pasangan Peng Soon-Liu Ying yang meraih pingat perak pada edisi Rio 2016, gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi peringkat kumpulan sehingga menyebabkan netizen melontarkan komen negatif terhadap gandingan itu di media sosial.

Pada aksi pembukaan, beregu campuran utama negara itu tumpas kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 21-10, 16-21, sebelum tewas kepada gandingan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich pada aksi 12-21, 15-21.

Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan semalam, Peng Soon-Liu Ying yang berada di ranking ketujuh dunia, tumpas di tangan pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping 13-21, 19-21.

Mengulas lanjut, Liu Ying berkata, beliau mengambil pendekatan untuk hanya mendengar komen atau teguran daripada jurulatih yang dapat memperbaiki prestasi beliau dan Peng Soon di gelanggang.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa tidak perlu ambil kisah komen daripada mereka (netizen), saya hanya akan dengar komen daripada jurulatih, sebab dia (jurulatih) orang yang penting dalam corak permainan saya.

“Saya tahu rakyat meletakkan harapan tinggi kepada kami, tetapi kalau komen yang diberikan itu tidak boleh memperbaiki prestasi, kami tidak pedulikan,” katanya yang menghargai sokongan berterusan daripada pelbagai pihak terutama keluarga dalam mengharungi situasi mencabar ini.

Liu Ying yang mengalami kecederaan pada kakinya pada temasya kali ini, berkata tumpuan beliau kini adalah untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia dan Kejohanan Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada akhir tahun ini.

Bukan mahu memberi alasan, Liu Ying berkata seperti mana atlet lain, mereka juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan rintangan susulan penularan pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak menjejaskan prestasi mereka pada Sukan Olimpik Tokyo.

“Mereka (netizen) mungkin ambil masa lima saat di keyboard, tetapi kami telah buat persediaan selama dua, tiga tahun untuk menghadapi Sukan Olimpik ini. Tetapi kami tidak mampu menjelaskan apa yang telah kami lakukan..bukan senang untuk layak ke Olimpik.

“Namun bagi saya, selagi saya buat yang terbaik dan tidak buat salah kepada sesiapa, itu sudah cukup. Kita telah berusaha demi negara, malah sudah 12 tahun dan tiga kali Olimpik kami sudah beraksi untuk negara, itu cukup bermakna,” katanya.

Sementara itu, Peng Soon menghargai sokongan berterusan yang diberikan pelbagai pihak termasuk peminat sukan tanah air walaupun mereka gagal memberikan keputusan positif di Tokyo.

“Kita tidak boleh halang sesiapa pun untuk memberikan komen. Kita sekarang seperti artis tidak boleh lari daripada menerima komen.

“Tetapi banyak juga peminat menyokong kami, dalam 10 orang hanya satu atau dua yang beri komen tidak baik tetapi lapan lagi masih sokong kita,” katanya sambil mengakui mereka tidak berada di prestasi terbaik di Tokyo. - Bernama