'Tolong hormati keputusan UMNO'

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak mahu semua pihak menghormati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketetapan itu pastinya dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor khususnya mendepani suasana sukar yang dihadapi segenap lapisan rakyat ketika ini.

"Mengharungi realiti politik yang kian mencabar, ancaman terhadap amalan demokrasi berparlimen serta tuntutan mendesak supaya hambatan ganas pandemik Covid-19 segera diurus dengan sewajarnya.

"Dalam hal ini, UMNO perlu menunjukkan keazaman politik dalam membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Di sebalik polimek politik yang berlaku, beliau selaku Menteri Besar Perak memberi jaminan bahawa kepimpinan kerajaan negeri akan terus menetapkan fokus dalam membangunkan ekonomi dan kebajikan rakyat yang terjejas.

"Dalam hal ini, saya dan kepimpinan kerajaan negeri akan terus menggembleng segala kekuatan untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat serta memastikan program vaksinasi dapat dijayakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, UMNO Perak turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelantikan mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan.

Katanya, berbekalkan pengalaman luas kedua-dua pemimpin UMNO ini diharap dapat memanfaatkan sebaiknya jawatan yang disandang untuk membantu parti.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap pelantikan ini akan membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19 serta membantu rakyat yang terkesan membina semula kehidupan mereka," katanya.