Armada ajak parti politik sertai 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela'

Wan Ahmad Fayhsal berbual dengan petugas PPV di Spice Arena di Bayan Baru pada Khamis.
Wan Ahmad Fayhsal berbual dengan petugas PPV di Spice Arena di Bayan Baru pada Khamis.
A
A
A

BAYAN BARU - Semua parti politik diminta agar membantu dalam mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dengan menyertai aktiviti sukarelawan percuma kepada masyarakat menerusi 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela'.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, dengan penyertaan pergerakan Pemuda dari setiap parti politik itu, ia dapat melancarkan proses pemberian vaksin Covid-19 di kawasan masing-masing.

Menurutnya, misi yang dilancarkan itu bertujuan membantu petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara antaranya membantu ketika di kaunter pendaftaran dan membawa orang kurang upaya (OKU) menjalani proses vaksinasi.

"Negara dijangka akan menambah dua kali ganda jumlah PPV dan ini memerlukan lebih banyak sukarelawan untuk membantu. Kita tidak boleh mengharapkan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata.

"Oleh itu, saya memohon kepada semua parti politik terutamanya pergerakan Pemuda seperti UMNO dan DAP agar sama-sama menyertai 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela'. Letakkan fahaman politik di tepi dan kita bersama-sama membantu negara mencapai imuniti kelompok.

"Apabila berkurangnya kes, maka lebih cepat lah kita keluar dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala," katanya pada sidang akhbar di PPV di Spice Arena di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, penyertaan sukarelawan dalam kalangan ahli politik yang sentiasa berada di lapangan juga memudahkan penyaluran bantuan kepada masyarakat berkaitan dengan proses pendaftaran dan penerimaan vaksin.

"Perlu ada sukarelawan dalam kalangan orang politik kerana mereka berada dalam kalangan akar umbi dan dia bersama dengan masyarakat setiap hari, mereka perlu tahu siapa yang sudah divaksin dan tidak.

Artikel Berkaitan:

"Ini akan memudahkan kita mencari mereka yang belum mendaftar untuk vaksin. Jumlah mereka yang tidak hadir janji temu juga masih tinggi termasuk di Kuala Lumpur.

"Kalau tidak ada orang ketuk pintu, yang tolong semak MySejahtera dan tolong daftar untuk mendapatkan vaksin, usaha kerajaan untuk capai imuniti kelompok akan menjadi lebih lambat untuk dicapai," katanya.

Jun lalu, Armada mengaktifkan 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela' untuk membantu petugas di PPV di seluruh negara.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, sehingga 30 Jun lalu, seramai 105,743 individu telah mendaftar untuk menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lalu.

Katanya, seramai 5,302 sukarelawan MyVac sudah ditempatkan di PPV yang beroperasi manakala 9,819 lagi sedang bersiap sedia untuk ditempatkan di PPV yang akan ditetapkan nanti.