'UMNO bukan parti suka marah-marah, bertelagah'

 Md Alwi Che Ahmad
Md Alwi Che Ahmad
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO bukanlah sebuah parti yang suka bertelagah ataupun parti yang suka ‘marah-marah’ sebaliknya UMNO adalah sebuah parti yang meraikan pendapat dari pelbagai peringkat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, setiap ahli masih setia dengan institusi presiden dan tidak pernah membelakangkan kepimpinan tertinggi mereka walaupun wujud perbezaan pendapat.

“Kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa bahawa majoriti daripada 42 anggota Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianggap sebagai salah persepsi.

“Jangan fokus kepada perbezaan pendapat antara pemimpin, tapi kalau keputusan sudah dicapai, kita kena berpakat untuk terima keputusan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas di Ketereh semasa menyampaikan bantuan sumbangan kepada peniaga kecil yang terkesan akibat Covid-19.

Mengulas lanjut, Alwi berkata, rakyat boleh melihat sendiri kepimpinan negara sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dan ternyata BN mempunyai rekod tersendiri dan baik sejak dulu lagi.

Malah katanya, tidak wujud ‘pembahagian’ khusus dalam UMNO sebagaimana yang dinyatakan Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

“Orang tanya betul ke sudah terbahagi kepada tiga, bagi saya tidak, UMNO terbahagi kepada 191 bahagian. Mengikut kawasan dan Parlimen. Bila ada pengundian, kita mengundi.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa sekarang presiden ialah Zahid, maka dialah presiden sehingga pemilihan akan datang. Jangan pula cuba untuk pecah belahkan parti ini. Peliharalah UMNO ini,” katanya.

Mengulas mengenai desakan untuk membuka Parlimen, ADUN Kok Lanas itu memberitahu, ia dilakukan bersebab iaitu untuk dijadikan medan perbincangan sesuatu keputusan yang konkrit demi membantu kestabilan negara.

Katanya, kerajaan perlu untuk memberitahu rakyat apa perancangan yang dilakukan termasuklah program-program pemulihan untuk ekonomi negara.