Guna jawatankuasa sedia ada, bukan bentuk jawatankuasa baharu

Dr Azman Ismail
Dr Azman Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Jawatankuasa Khas Parlimen untuk meneliti aspek penting sebelum sidang bermula tidak perlu dibentuk memandangkan sudah wujud Jawatankuasa Terpilih Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa baharu yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang kerana jawatankuasa sedia ada boleh memainkan peranan sama.

"Kerajaan sepatutnya menggunakan jawatankuasa sedia ada dan memperinci serta memperkemaskan semua perkara sahaja.

"Bagi saya, sebaik-baiknya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan satu tarikh seberapa segera yang bersesuaian dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan saranan Raja-raja Melayu dalam satu pertemuan, minggu lepas," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Dr Azman, beliau sendiri tertanya-tanya mengenai keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa baharu itu.

"Apa lagi yang ingin dikaji melalui pembentukan jawatankuasa baharu memandangkan notis perlu dilakukan dalam tempoh 28 hari sebelum hari pembukaan sidang Parlimen kerana titah Yang di-Pertuan Agong tertakluk pada kuasa bawah Ordina Darurat, iaitu sebelum 1 Ogos," katanya.

Tambah beliau, cadangan menubuhkan jawatankuasa yang diumumkan itu seperti tidak menepati titah Yang di-Pertuan Agong dan seolah-olah tidak mahu persidangan Parlimen dibuka secepat mungkin.

Dalam perkembangan sama, katanya, pelaksanaan persidangan Parlimen dalam bentuk hibrid juga telah biasa diadakan tahun lepas, cuma perlu diperkemaskan sahaja, misalnya menggunakan aplikasi Zoom.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, persidangan atau mesyuarat ahli Parlimen dalam bentuk hibrid berjalan lancar dan tiada masalah melalui aplikasi sedemikian, " katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.