Pengambilan khas guru: Armada bidas kenyataan Ahmad Zahid

Mohd Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu pengambilan khas guru secara one-off.

Ujar beliau, isu pendidikan tidak wajar dijadikan bahan untuk sesetengah pihak semata-mata untuk mencari perbatuan politik.

Katanya, keputusan pengambilan khas tersebut bertujuan membuka jalan terhadap isu kekurangan guru, terutamanya di beberapa negeri seperti di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Pertama, Ahmad Zahid menyatakan sama ada akan ada pengambilan graduan pendidikan baharu pada tahun-tahun mendatang.

“Ya, pengambilan graduan pendidikan pada tahun mendatang akan tetap diteruskan kerana pengambilan one-off ini bertujuan untuk mengisi jawatan sedia ada yang sepatutnya telah diisi sejak dulu lagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Ahmad Zahid membangkitkan beberapa persoalan mengenai pengambilan khas guru secara one-off seramai 18,702 graduan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, isu mengenai graduan pendidikan disisih dalam pengambilan khas itu juga tidak akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim

Menurutnya, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah menyatakan secara jelas bahawa keutamaan akan diberi kepada graduan pendidikan terlebih dahulu.

“Pada masa sama, KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan bekerjasama dalam mewujudkan kluster opsyen dan akan memberi peluang luas kepada graduan pendidikan.

“Pengambilan graduan bukan daripada bidang pendidikan pula akan dipertimbangkan sekiranya calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen,” menurutnya.

Tambah beliau, Ahmad Zahid turut mempersoalkan sama ada keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibuat atas sebab-sebab populis.

“Perlu diingat bahawa isu kekurangan guru ini hasil daripada keputusan kerajaan antaranya pada tahun 2016, kerajaan mengurangkan pengambilan guru bagi Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya menyeru Ahmad Zahid agar melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas dan tidak mengehadkan pandangan beliau terhadap politik sempit semata-mata,” tambahnya.