BN Sabah sambut baik pandangan dizahirkan Agong

Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkenan tersebut membuktikan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara yang meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap yang tinggi sekali gus mengutamakan prinsip keluhuran perlembagaan.

"Keputusan ini membuktikan Yang di-Pertuan Agong mengutamakan prinsip keluhuran perlembagaan dan ini selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli berhormat Dewan Rakyat dan Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Bung Moktar meminta supaya semua ahli Parlimen tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang supaya mengambil ruang dan peluang ini untuk kembali bersidang.

"Bahaskan secara serius serta objektif untuk mencari jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini.

"Ini adalah peluang untuk semua ahli Parlimen membuktikan serta mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin