Zambry calon tepat pulih hubungan pemimpin, ahli BN: MIC Perak

Datuk V Elango
Datuk V Elango
A
A
A

IPOH - MIC Perak melihat tumpuan utama yang perlu diberikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah merapatkan hubungan antara parti komponen.

Pengerusinya, Datuk V Elango berkata, perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti harus menjadi keutamaan ketika ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, tindakan pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan pemimpin harus dihentikan dan pihaknya yakin bahawa Zambry merupakan calon tepat.

"Kita sangat mengalu-alukan pelantikan Zambry sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu kerana ketokohan, kelayakan dan pengalaman memimpin BN Perak sebelum ini terbukti berkesan membawa kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya.

"Formula yang digunakan di Perak sebelum ini boleh digunakan di peringkat pusat bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN pada PRU15 nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Zambry sebagai Setiausaha Agung BN yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pada Selasa.

Elango berkata, sungguh pun BN gagal membentuk kerajaan di Perak pada PRU14 lalu, namun jumlah kerusi yang dimenangi di negeri itu sebanyak 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibanggakan kerana ketika itu berlaku tsunami politik di seluruh negara.

MIC Perak yakin BN mampu kembali ke landasan sebenar untuk memenangi PRU15 menerusi idea dan pengalaman Zambry.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting, semua parti komponen perlu menyokong dan memberi kepercayaan kepada Zambry untuk memperbaiki kelemahan serta memperkukuhkan BN.

"Kita perlu merapatkan saf antara kita bukan sahaja ketika pilihan raya malah kerjasama antara parti komponen perlu ditambah baik supaya keserasian terus kukuh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zambry Abdul Kadir Setiausaha Agung BN baharu