Sepanyol resah pemain positif Covid-19

Llorente pemain terbaharu La Roja yang disahkan positf Covid-19
Llorente pemain terbaharu La Roja yang disahkan positf Covid-19
A
A
A

KESEMUA pemain Sepanyol kini menjalani proses isolasi apabila pemain pertahanannya, Diego Llorente disahkan positif Covid-19.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales berkata, berita itu dilihat sebagai berita buruk buat skuad La Roja itu apabila pemain pertahanan itu menjadi pemain kedua setelah pemain tengah bertahan, Sergio Busquets disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Menurutnya, berita itu secara tidak langsung dilihat bakal memberikan kesan terhadap persiapan skuad La Roja itu bagi mengharungi Euro kali ini.

“Kami menerima berita buruk hari ini yang mengatakan seorang lagi pemain kami, Llorente disahkan positif Covid-19 selepas Busquets disahkan positif baru-baru ini.

“Oleh itu, kesemua diarahkan menjalani perintah isolasi kerana kami menjangkakan lebih ramai pemain bakal diuji positif Covid-19 dalam masa terdekat dan ketika ini.

“Bagaimanapun kami tetap meneruskan persiapan untuk Euro dengan memanggil lima pemain seperti Rodrigo Moreno dari kelab Leeds United, Pablo Fornals (West Ham United), Raul Albiol, Carlos Soler (Valencia) dan Brais Mendez (Celta Vigo) bagi menjalani latihan menggunakan kaedah ‘gelembung selari’ (parallel buble) dalam usaha memperkuatkan pasukan,” katanya.

Llorente diberitakan telah meninggalkan pasukan pada Selasa bersama pasukan perubatan dengan menaiki kenderaan yang dilengkapi dengan protokol kesihatan.

Mengikut jadual, Sepanyol bakal berdepan Sweden pada aksi pembukaan Kumpulan E Euro 2020, pada awal pagi Isnin dan difahamkan Sweden turut mengesahkan dua pemainnya, Dejan Kulusevski dan Mattias Svanberg positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu menurut Rubiales, pihaknya turut berpuas hati dengan pencapaian cemerlang skuad bawah 21 tahun (B-21) Sepanyol yang berjaya menewaskan Lithuania 4-0 pada aksi persahabatan pada Selasa.

Katanya, kemenangan itu dilihat sebagai pencapaian yang baik berikutan skuad utama La Roja persiapan itu sedang menjalani proses isolasi ketika ini.

“Kami cukup bangga dengan kejayaan ini dan diharapkan setelah tamat tempoh isolasi, skuad senior pula yang akan terus cemerlang pada Euro kali ini,” katanya.