MOM nafi Malaysia disekat sertai Olimpik

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

[DIKEMASKINI] MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan mendapatkan penjelasan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) dan kerajaan Jepun berhubung laporan atlet dari 10 negara termasuk Malaysia, tidak dibenarkan menyertai Olimpik Tokyo.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan bertulis bagi menamatkan spekulasi pada ketika temasya itu hanya berbaki sebulan lagi sebelum dilangsungkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Laporan itu tidak benar. Notis yang diberikan hanya berkaitan peraturan imigresen bagi pelawat awam dari beberapa negara termasuk Malaysia. Bagaimanapun, kami menghantar e-mel kepada IOC dan Jepun untuk mendapatkan kepastian agar kami dapat tamatkan spekulasi," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Mohamad Norza juga mengesahkan MOM yang sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan kerajaan Jepun telah mengeluarkan satu pekeliling kepada jawatankuasa penganjur temasya berkenaan agar "tidak membenarkan kemasukan" 10 negara yang sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.

Menurut laporan itu lagi, jika jawatankuasa tersebut tidak dapat menyekat kemasukan atlet, langkah-langkah lebih ketat akan dikenakan termasuk dikuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara-negara berkemungkinan lain yang dinamakan dalam laporan itu ialah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Setakat 5 petang tadi, Kedutaan Jepun di Malaysia masih belum memberi maklum balas terhadap pertanyaan Bernama berhubung isu itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, IOC berkata langkah kawalan sempadan merupakan bidang kuasa kerajaan negara berkenaan.

"Kami telah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 bahawa sekalipun kawalan sempadan tertakluk merupakan bidang kuasa kerajaan negara, Tokyo 2020 akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan penyertaan yang selamat untuk semua atlet ke temasya itu," kata IOC dalam e-mel.

Menurut Prinsip-prinsip Asas Olimpik dalam Piagam Olimpik, "setiap individu harus mempunyai kemungkinan untuk bermain sukan, tanpa sebarang diskriminasi dan dalam semangat Olimpik yang memerlukan persefahaman bersama dengan semangat persahabatan, perpaduan dan keadilan."

"Hak dan kebebasan yang ditetapkan dalam Piagam Olimpik ini harus diperoleh tanpa sebarang diskriminasi seperti kaum, warna kulit, gender, orientasi seksual, bahasa, agama, pegangan politik atau pandangan lain, negara atau komuniti asal, harta, status kelahiran atau lain-lain," demikian menurut piagam itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada OIC akan berpegang pada piagam itu, mengambil kira situasi semasa pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 2020 namun ditangguh setahun susulan penularan pandemik tersebut. - Bernama