PKR akur arahan tangguh kongres, akan umum tarikh baharu

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - PKR akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menangguhkan Kongres Nasional PKR 2020 yang dijadualkan pada Ahad dan akan mengumumkan tarikh baharu kongres itu kelak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan meneruskan kongres boleh menyebabkan parti itu dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat.

“Kongres ini sepatutnya diadakan pada Disember tahun lalu, tetapi pada masa itu penangguhan 18 bulan dibenarkan kerana situasi Covid-19, tempoh penangguhan berakhir hari ini (Ahad).

"Namun kita tangguh lagi ke satu tarikh hingga 30 Jun ini, dan ia juga masih mengambil kira situasi pandemik negara," katanya pada sesi 'Amanat Presiden PKR' secara maya pada Ahad.

Menurut Saifuddin Nasution, PKR akan mendapatkan nasihat MKN serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum menyambung semula kongres tersebut supaya perkara sama tidak berulang.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR boleh tangguh Kongres Nasional sehingga 30 Jun: MKN

MKN pada Sabtu menjelaskan Kongres Nasional PKR ke-15 yang dijadualkan Ahad boleh ditangguhkan hingga 30 Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir berkata, ia berdasarkan pandangan RoS berkenaan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: MKN arah Kongres Nasional PKR secara maya esok ditangguh

Pengarah Kongres Nasional PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan PKR telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada jam 6.21 petang, Jumaat lepas, yang mengarahkan kongres berkenaan ditangguhkan.

Persidangan Kongres Nasional Wanita PKR berlangsung Jumaat lepas manakala Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) diadakan pada Sabru, kedua-duanya secara maya. - Bernama