Tangani isu pergerakan petugas kesihatan swasta rentas sempadan

Gambar hiasan- Foto 123RF
Gambar hiasan- Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengambil langkah segera bagi menangani isu berhubung surat kebenaran bagi memudahkan pergerakan petugas rawatan kesihatan swasta semasa tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Presiden MMA, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai pekerja berkenaan ditahan oleh pihak berkuasa dan berhadapan dengan pelbagai masalah ke tempat kerja kerana mereka tidak mempunyai surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagaimana yang diperlukan oleh pekerja sektor perkhidmatan penting.

“Dua hari lepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa pekerja pusat rawatan kesihatan swasta hanya perlu menunjukkan bukti bahawa mereka adalah petugas kesihatan swasta sahaja sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR).

“Sekiranya mereka berhadapan dengan masalah, ini bermakna komunikasi kerajaan tidak sampai kepada jabatan berkaitan di lapangan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, klinik swasta, hospital dan klinik pergigian adalah berdaftar dengan KKM dan menyediakan perkhidmatan perlu kepada petugas barisan hadapan.

Selain itu menurutnya, pengamal perubatan swasta turut terlibat dalam menjalankan tugas saringan besar-besaran dan diperlukan untuk merentas daerah dari masa ke masa.

“Kebenaran perlu diberikan kepada mereka untuk meneruskan perjalanan sebaik sahaja mereka menunjukkan dokumen yang berkaitan kepada pihak berkuasa,” katanya.

“Kita harapkan agar petugas kesihatan swasta diberikan sokongan yang perlu daripada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyediakan perkhidmatan yang diperlukan rakyat,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: