Farizal janji tak buat silap lagi

FARIZAL
FARIZAL
A
A
A

PENJAGA gol Harimau Malaya, Mohd Farizal Marlias berjanji tidak akan mengulangi kesilapan memberikan gol mudah kepada lawan seperti yang dilakukannya ketika menentang Bahrain pada aksi persahabatan baru-baru ini.

Farizal berkata, dia mahu menebus kesilapan yang dilakukannya itu jika diturunkan dalam aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum Jumaat ini.

“Saya akui mungkin ketika itu saya hilang konsentrasi sedikit dan saya percaya kesilapan tersebut boleh diperbaiki pada perlawanan akan datang.

“Bagi saya, perkara itu sudah berlalu dan motivasi saya juga cukup tinggi sekarang sebelum menghadapi UAE,” katanya dalam sidang media secara maya pada Selasa.Dalam aksi di Stadium Nasional Bahrain, Riffa pada Sabtu lalu, tampanan kurang kemas Farizal selepas menerima bola daripada Liridon Krasniqi pada minit ke-61 mengundang padah apabila gawangnya dibolosi dengan gol kedua Bahrain.

Situasi itu sekali gus menimbulkan kritikan mengenai posisinya sebagai penjaga gol utama pada ketika ada pihak yang mahu dia digantikan dengan penjaga gol lain ketika menentang UAE nanti.

Farizal turut mengakui posisi penjaga gol utama bukan hak mutlak miliknya apabila cabaran diberikan dua lagi penjaga gol - Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dan Samuel Jacob Somerville.

“Saya tiada masalah siapa pun yang akan mengisi slot tersebut dan siapa yang diberikan peluang perlu melakukan yang terbaik kerana kita ada misi besar untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kempen ini.

“Bagi saya sendiri, saya perlu bekerja keras untuk meningkatkan prestasi daripada semasa ke semasa. Saya percaya semangat dan motivasi semua pemain juga berada pada tahap terbaik ketika ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mengalu-alukan kehadiran pemain kacukan, Dion Cools yang kini sah menyertai Harimau Malaya.

“Kemasukan Cools memberikan motivasi dan menambah kekuatan pasukan. Malah, segala pengalamannya ketika beraksi menentang pemain berkelas dunia sangat bernilai untuk pasukan,” jelasnya.