Kenyataan Iswardy tidak wakili pendirian PKR

Fahmi Fadzil, Sinar Harian melaporkan Iswardy ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi siaran langsung laman YouTube pada Jumaat.
Fahmi Fadzil, Sinar Harian melaporkan Iswardy ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi siaran langsung laman YouTube pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi satu video secara langsung pada Jumaat tidak mewakili pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, biro politik parti itu telah memberi amaran keras kepada Iswardy.

Menurutnya, pihaknya mengesahkan Iswardy adalah seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam hierarki pimpinan PKR Sarawak mahupun Pusat.

“Pimpinan PKR mengambil maklum sebuah video YouTube yang dimuat naik seorang individu bernama Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan-kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Fahmi berkata, ucapan Iswardy dalam video sebelum ini pernah dibangkitkan dan dibincangkan dalam Biro Politik PKR, malah keputusan telah diambil seawal April lalu.

Menurutnya, Iswardy telah diberi amaran keras dan parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya mengulangi perbuatan sama.

“Oleh kerana isu video Iswardy kini telah menjadi kes siasatan polis, PKR akan menunggu hasil siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap beliau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Saiful cabar PKR pecat Iswardy

ARTIKEL BERKAITAN: Video didakwa hina Agong: Iswardy Morni ditahan polis